Translate to your language

Wednesday, January 29, 2014

Kegairahan Fast Money - Status Hukum Berbayar Pendaftaran Biz


Sebenarnya orang Islam yang faham telah muak jika  bertalu-talu  menceritakan bab ini...kalau  kita bukan beragama Islam benda ini tidak menjadi masaalah. INFINITY DOWNLINE @ ID LOGIN FACEBOOK DAPAT RM100.

Coretan Ustaz.
Bertalu-talu orang bertanya berkenaan skim perniagaan Infinity Downline @‘Login Facebook dapat RM100 hari-hari'. Sebenarnya saya amat skeptic dengan skim-skim sebegini malah amat muak lagi jemu untuk menelitinya . Oleh kerana itu, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang melihat betapa mudahnya umat Islam di Malaysia dikelirukan dengan skim seperti ini, padahal telah berkali-kali dijelaskan konsep dan asas untuk menilai halal dan haram dalam skim sebegini.  

Padahal, helah pihak-pihak penganjur skim tersebut amat jelas dan terang. Pun begitu mereka masih mampu mengelirukan umat Islam kita. Saya berdoa agar kita semua mampu lebih rajin untuk berfikir  dan lebih cekap dalam memperbezakan antara skim-skim sampah dan emas permata.

Bagi menunaikan amanah Allah, selaku khalifah Allah di atas muka bumi, untuk menyeru kepada kebaikan, melarang kemungkaran, saya berusaha untuk mencari celah-celah waktu yang ada untuk diwaqafkan kepada umat Islam bagi menyediakan jawapan bagi soalan skim Infinity Downline yang ditanyakan ini.

Beberapa perkara perlu dikaji dalam hal ini . Secara ringkas dan padat adalah seperti berikut:-
Menyemak website utama Infinity Downline (selepas ini digunakan singkatan ID) melalui ‘whois', seorang pengkaji persendirian mendapati, web ini tidak menyertakan info yang mencukupi tentang pemiliknya. Ia jelas satu unsur gharar yang menjadikan skim ini haram pada pandangan Islam.

Memang benar, kelihatan sistem ini berasal dari USA. Statistic www.alexa.com juga menunjukkan peratusan teramai pelawat ke web ID datangnya dari USA, diikuti dengan negara yang dipenuhi oleh pecinta skim cepat kaya iaitu Malaysia.
Justeru dengan fakta ini, jelas skim ini memang sedang mendapat tempat di kalangan ramai di seluruh dunia, sehingga jika dicari berkenaannya di google dan yahoo, majoritinya memuja memuji system ini sebagai sistem termudah mendapatkan duit. Tahap tersebar skim ini di seluruh dunia menunjukkan tanda positif tetapi ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa ia halal di sisi Islam. Skim cepat kaya Bernard Mardoff yang bernilai USD 5 billion lebih kelihatan reliable, tetapi ia tetap scam dan sebuah skim cepat kaya apabila ia tidak berniaga barangan sebenar dan hanya memusing-musingkan kentungan dari orang bawah yang baru masuk kepada orang atas sistem piramidnya.


Begitulah beberapa petikan produknya yang boleh diperolehi dengan hanya USD25 atau RM 100.  Sekali pandang ia kelihatan cukup baik, namun apabila diteliti tajuk-tajuk tertentu dalam senarai audio, ia jelas agak banyak tajuk yang dijual berkait hal yang dilarang di dalam Islam,  manakala tajuk tatoo, bedroom, bible etc secara tidak langsung memberi kekeliruan terhadap kandungannya, walaupun telah dimaklumkan bahawa isinya berlainan, ia tetap membawa syubhat yang besar sama ada pada tajuk itu sendiri atau teknik-teknik perniagaan di dalamnya yang tidak sama sekali mengambil kira displin perniagaan Islam. 

 Hujjah utamanya adalah produk ini hanyalah sebagai alat untuk mengabui mata pihak berkuasa dan peserta, kononnya mereka menjual produk, sedangkan produk yang dijual tidak mempunyai sebarang kualiti khas, malah semua kaedah dan tatacara pengunaan itu boleh dengan mudah diperolehi secara percuma di internet. . Walaupun unsur ini semata tidak cukup kuat untuk menjatuhkan skim ini kepada HARAM, namun gabungannya dengan pelbagai isu dan masalah lain yang disebut dalam artikel ini, menyebabkan ia jatuh dalam sebuah skim perjudian dan juga riba.

Saya juga yakin majoriti yang memasuki system ini TIDAK SAMA SEKALI inginkan produk itu, malah tidak memanfaatkan produk yang diperolehi itu. Sebenarnya apa yang diingini adalah system reverse 2 up yang diwarwarkan membolehkan peserta memperolehi modal USD 25 dengan hanya seorang dowline, selanjutnya selaku upline mereka akan memperolehi komisyen yang merupakan keuntungan demi keuntungan.

Meneliti promosi-promosi dari ahli-ahli ID, amat jelas memperlihatkan niat dan kecenderungan mereka adalah untuk bergiat dalam system money game dan bukannya berusaha mempromosikan produk-produk tanpa kualiti mereka. Ini jelas apabila sistem komisyen lebih diutamakan dalam promosi berbanding produk. Produk-produk mereka tiada kualiti khusus kerana hampir kesemua tajuk pada produk itu boleh didapati secara percuma sama ada dari youtube, google search dan sebagainya.

Ada yang bertanya dan berhujjah bahawa produk itu walaupun kelihatan tidak berguna dan mudah diperolehi secara percuma. Namun seperti tayar buruk, ia mungkin tidak berguna bagi sesetengah orang namun ia berguna bagi sesetengah yang lain, lalu adakah wajar saya mengelarkan sebagai ‘sampah' atau tidak.
Kes 'sampah' yang saya sebutkan membawa dua maksud iaitu sama ada :-
1) Produk itu memang tidak ada nilai dan kualiti yang khusus, untuk dijual beli sehingga bertingkat-tingkat dan melibatkan beribu-beribu orang manusia membeli dan menjualkan berulang kali.  Hanya sekadar ia sebuah kompilasi tidak cukup menjadikan ia sebegitu digilai oleh ramai orang. Hakikatnya, sistemnya yang digilai bukan produknya.
2) Produk itu tidak sekalipun akan digunakan oleh peserta (iaitu berdasarkan tinjauan majoriti dan promosi ahli-ahli mereka), ia dikendalikan seperti 'sampah' (yang tidak terpakai dan tidak digunakan), ia sekadar mencukupkan syarat untuk menyertai sistem money game, piramid yang haram kerana judi, gharar dan riba.

Sekiranya seseorang itu menaja atau mencari 10 orang ahli (=mangsa) ( ini diambil dari facebook ID , jika salah mereka yang salah)

Level 1 - 10 Rakan Niaga = 100% * RM90 * 10 = RM900
Level 2 - 100 Rakan Niaga = 100% * RM90 * 100 = RM900
Level 3 - 1000 Rakan Niaga = 100% * RM90 * 1000 = RM90,00
Level 4 - 10000 Rakan Niaga = 100% * RM90 * 10000 = RM900,000

Ini adalah petikan dari kempen sana sini upline ID (rujuk facebook mereka) :
Kita akan terus-menerus dapat setiap bulan selagi downline maintain bayar USD25 tiap-tiap bulan. Paling best 100% bila anda menaja 1orang SYARIKAT TIDAK AMBIL APA-APA best program affiliate -INFINITY DOWNLINE ni.

Ini jelas satu lagi unsur haram, modal yang diwarwarkan sebenarnya bukan lagi USD 25 seumur hidup, rupanya adalah USD 25 sebulan!. Sedangkan produk yang telah dibeli dahulu pun tidak gunakan, apatah lagi produk bulan depan yang belum pasti akan diupdate oleh syarikat atau tidak. Jika syarikat belum mengemaskinikan produknya,  malah tidak disebut secara jelas, manakah produk baru pada tiap-tiap awal bulan, maka atas apakah bayaran USD 25 itu dibuat? Sekadar untuk memastikan upline layak mendapat komisyen orang downline?. Jika itulah senarionya, ia JELAS Riba malah juga mempunyai unsur perjudian.

Perjudian semakin jelas apabila, kegagalan ahli maintain USD 25 setiap bulan akan menyebabkan dirinya terkeluar dari kaki dan tidak lagi layak menerima komisyen orang bawah, kini dirinya dianggap orang baru di bawah sistem kaki tersebut setelah pendaftaran dan pembayaran semula dibuat.

Sebagaimana juga disebut di atas, ia juga mempunyai unsur judi melalui yuran bulanan peserta. Yuran ini mendedahkan peserta kepada dua kemungkinan iaitu RUGI  (= kalah), atau terus mendapat komisyen lumayan dari downline ( = Menang judi).


KESIMPULAN AKHIR
1)      Latarbelakang syarikat ID diragui dan bermasalah.
2)      Produk ID adalah tiruan, tidak punyai nilai sebenar, bercampur intipati yang haram dan tidak diperlukan oleh majority ahli. Ini menjadikan penyertaan ke skim ID adalah kerana inginkan pulangan melalui system reverse 2 up.
3)      Akibat produk tidak berkualiti, tidak relevan dan yang dipromosi adalah lebih kepada sistem komisyen, setiap yuran yang dibayar adalah dengan niat dan hasrat untuk mendapat lebih banyak keuntungan tanpa sebarang jual beli sebenar, tatkala itu riba al-Fadl dan An-Nasiah berlaku. Ini adalah kerana komisyen disandar kepada yuran dan bukan jualan produk.
4)      Yuran bulanan USD 25 menjatuhkan ia di dalam unsur maysir atau perjudian.

Oleh itu, menurut penelitian saya, umat Islam MESTI DIHARAMKAN dari menyertai system ini. Sebarang promosi dan membiarkan promosinya betapak di web atau facebook anda juga adalah diharamkan di dalam Islam atas asas larangan bantu membantu dalam perkara maksiat dan dosa.

Adalah diharapkan umat Islam khususnya bangkit dari tidur dan mimpi untuk mendapatkan untung tanpa usaha yang setimpal. Dalam Islam setiap keuntungan mestilah bersumber dari penjualan sesuatu aset atau dari usaha sebenar terhadap sesuatu aset, bukan hanya untung atas angin secara goyang kaki atas penyertaan orang ke dalam sesuatu sistem pyramid. 

Semoga kita semua diberi pembukaan hati dan minda untuk tidak menyertai, berhenti dan menyedarkan yang lain. Namun sekali terjebak, kegilaan kepada wang, harta serta sistem cepat kaya adalah ibarat arak yang memabukkan, tidak mudah menyedarkan mereka tatkala sedang mabuk, peluang dan ruang untuk yang menasihat dicerca adalah besar, demikianlah tabiat orang mabuk apabila dinasihat. Justeru bersabar kalian dalam menasihati mereka, semoga mereka lekas sedar dan sempat diselamatkan sebelum kemalangan berlaku. 

Akhir sekali, tulisan ini bukanlah sebuah fatwa, ia hanya nasihat dan pandangan. Jika ada yang tidak bersetuju dengannya, terpulang kepada saudara dan saudari untuk menolaknya. Tiada sesiapa yang memaksa untuk menerimanya. NIat saya hanyalah untuk mebantu dan menyelamatkan kita semua dari murka Allah. Justeru tidak perlu untuk mencaci maki di web ini.
 
Ada yang menghantar email kepada saya bertanya tentang cara berhenti dan taubat. Ini jawapan ringkasnya. Jalannya adalah berhenti, sedarkan dowline juga dan semua komisyen yang masih lagi masuk disalurkan kepada faqir miskin. Modal sendiri boleh ambil semula.

Taubat boleh dibuat dgn menunaikan solat taubat sebanyak 2 rakaat dan insafilah dengan sebenar-sebenarnya keterlibatan dan kegelojohan kita terhadap wang dan harta itu, kemudian memperbanyakkan sedeqah dari semasa ke semasa. Selanjutnya panjatkan harapan setingginya kepada Allah untuk menerima taubat kita.

Tulisan oleh



Penyelesaian

No comments: